" />

Selasa, 27 Disember 2011

Mesyuarat Guru Bil.1/2012

Mesyuarat Guru telah diadakan di SK Tok Randok bagi membincangkan program-program dan perancangan pengajaran dan pembelajaran bagi sesi 2012. Pelbagai program telah dirangka oleh pihak pentadbir bagi menjadikan SK Tok Randok di antara sekolah yang cemerlang di negeri Terengganu.





Khamis, 17 November 2011

UPSR 2011 : SKTR oh SKTR

Terengganu terus unggul dalam pencapaian semua A, UPSR 2011 dengan pencapaian 15.6 % meningkat sebanyak 0.2% berbanding tahun 2010 sebanyak 15.4%. Begitu juga dengan pencapaian Minimun C telah meningkat kepada 71.1% berbanding 66.8%.
DI SKTR, seramai 10 murid daripada 45 murid berjaya mencatat 5A. Manakala 4A1B adalah seramai 8 orang. Target murid 5A yang ditetapkan pada tahun ini iaitu 10 orang tercapai. Mereka ialah Khairul Safwan, Muhd Alif Ilmam, Wan Abd Muiz, Sabri, Faris Hilmi, Halimahtun Saadiah, Nur Syasya, Anis Farhana, Nur Syazwina dan Aisyah Mardhiah. Walaupun mengalami sedikit penurunan berbanding tahun lepas, sebenarnya pihak sekolah masih berbangga kerana LSMP pada tahun ini adalah meningkat menjadi 97.78%. Ini merupakan satu peningkatan yang ketara berbanding pada tahun lepas.
Terima kasih diucapkan kepada semua guru-guru SKTR, ibu bapa, murid-murid dan juga yang terlibat secara tak langsung di dalam menjayakan program UPSR pada tahun ini. Tahniah kepada anak-anak yang berjaya dan tidak berjaya jangan putus asa kerana perjalanan mereka masih lagi jauh.
Analisa keseluruhan peperiksaan 2011 negeri Terengganu. Klik DISINI.




Selasa, 15 November 2011

Majlis Penyerahan Replika Cek Wang Bantuan RM100

Berdasarkan bajet 2012 yang dibentangkan oleh PM baru-baru ini, beliau telah memberikan satu pemberian wang bantuan RM100 kepada semua murid sekolah di Malaysia bermula dari tahun 1 sehingga ke tingkatan 5. Di SKTR, majlis ini diadakan selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan SKTR dan dirasmikan oleh En Fauzi. Semua ibu bapa hadir pada majlis tersebut bersama-sama bagi menyaksikan penyerahan replika cek berjumlah RM24,900 kepada Guru Besar SKTR. Diharapkan, dengan adanya wang bantuan ini dapat meringankan ibu bapa yang ingin membeli kelengkapan sekolah anak-anak mereka pada tahun hadapan.



Hari Anugerah Kecemerlangan SKTR

Hari anugerah ini diadakan pada setiap tahun bagi memberikan satu penghargaan kepada murid-murid yang berjaya dan cemerlang di dalam peperiksaan akhir tahun. Majlis ini telah disempurnakan oleh Pegawai Kurikulum Khas PPDHT iaitu Encik Rusmadi bin Ngah. Majlis pada tahun ini dihadiri oleh ramai ibu bapa bagi menyaksikan anak-anak mereka menerima hadiah. Majlis ini juga dihadiri oleh Yang Di Pertua PIBG. Terima kasih kepada semua guru-guru yang terlibat bagi menjayakan Majlis Anugerah Kecemerlangan SKTR pada kali ini. Tahniah juga kepada semua murid SKTR yang berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan ini.








Khamis, 20 Oktober 2011

Pertandingan Koir Pra Sekolah Peringkat Negeri


Hari ini berlangsungnya pertandingan koir pra sekolah peringkat negeri. Pertandingan ini diadakan di Taman Budaya Kuala Ibai. Semua murid pra sekolah SKTR sudah bersedia dan bersemangat sekali menyertai pertandingan koir ini. Kami warga sekolah mendoakan agar peserta daripada SKTR beroleh kejayaan dalam pertandingan tersebut.

Ahad, 16 Oktober 2011

Penyampaian Hadiah Sempena Hari PSS Sekolah






Sempena hari PSS peringkat sekolah, acara ringkas majlis penyampaian hadiah diadakan untuk diberikan kepada pemenang pertandingan. Hadiah ini telah diberikan sendiri oleh Guru Besar SKTR iaitu Alias bin Said kepada semua pemenang yang berjaya. Harapan beliau agar hari PSS ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang yang banyak memberikan pelbagai ilmu pengetahuan kepada kita semua.

Selasa, 11 Oktober 2011

Hari Pusat Sumber Peringkat SKTR






SK Tok Randok telah mengadakan Hari Pusat Sumber Peringkat Sekolah bertemakan "Bangsa Membaca Bangsa Berjaya". Antara akvitiviti yang turut diadakan ialah bercerita, sesi menari, mewarna kulit buku, melukis poster, pidato, teka buku, melengkap pantun dan mencari maksud peribahasa. Ianya bertujuan bagi mendedahkan tentang pusat sumber sekolah yang dapat memberikan pelbagai ilmu pengetahuan kepada semua murid sekolah yang sentiasa menggunakannya. Dengan adanya aktiviti seperti ini diharapkan agar Pusat Sumber Sekolah akan terus mantap dan cemerlang pada masa akan datang.

Ahad, 2 Oktober 2011

Pra Ar Rahman - Johan Pertandingan Koir Peringkat Daerah





Pertandingan koir kebersihan anjuran Kerajaan Negeri Terengganu telah diadakan di SK Tok Randok di mana Pra Ar Rahman SK Tok Randok telah berjaya menjadi johan. Pihak sekolah berasa bangga akan kejayaan yang dicapai ini. Pra sekolah ini akan mewakili daerah Hulu Terengganu ke peringkat negeri pada 25 Oktober 2011 ini. Tahniah diucapkan kepada adik-adik pra sekolah ini.

Olahraga 1 Murid 1 Sukan Peringkat Daerah




Pada hari Sabtu (1 Okt 2011), program 1 Murid 1 Sukan telah di adakan di SMK Ajil. Penyertaan murid adalah di bawah umur 11 tahun. SK Tok Randok telah menghantar wakil pelajar ke acara tersebut iaitu Nur Ain Nadwa, Ashraf Daniel, Ikmal Amri, Nur Afifah dan Mohd Aiman. Dalam acara tersebut, Nur Ain Nadwa telah berjaya memungut 2 pingat emas dalam acara lompat tinggi dan lari berpagar. Manakala 1 pingat perak pula diperoleh dalam acara 200 m. Asyraf Daniel memperoleh 1 pingat gangsa dalam acara lompat tinggi. Sementara Mohd Ikmal Amri dan Nur Afifah masing-masing dengan satu gangsa dalam acara lari berpagar dan 200 m. Secara keseluruhannya, SK Tok Randok menduduki tempat yang kedua keseluruhan daripada semua sekolah yang bertanding. Tahniah diucapkan kepada pelajar berkenaan dan diharapkan dapat mengharumkan lagi nama SK Tok Randok pada tahun hadapan.

Khamis, 22 September 2011

Lawatan Murid Tahun 6 & Pengawas Sekolah Ke Kuantan






Lawatan ini sempena program murid-murid tahun 6 selepas peperiksaan UPSR dan juga Pengawas Sekolah. Pada kali ini, semua murid tahun 6 bersama-sama dengan guru tahun 6 dan pengawas-pengawas sekolah telah mengadakan lawatan ke Kuantan. Antara tempat yang dilawati ialah Permata Camar (Asrama Anak-Anak Yatim), Gambang Water Park dan East Cost Mall (ECM). Murid-murid telah didedahkan dengan info berkaitan asrama pusat anak-anak yatim. Tidak lupa juga derma-derma yang disumbangkan oleh pihak sekolah dan juga orang perseorangan kepada pusat tersebut bagi mengurangkan beban mereka. Di samping itu, murid-murid juga telah berseronok bermandi-manda di Gambang Water Park dan membeli belah di pasar raya ECM, Kuantan.

Selasa, 13 September 2011

Peperiksaan UPSR 2011






Hari ini merupakan hari penting bagi semua pelajar tahun 6 yang akan menduduki peperiksaan UPSR. Semua pelajar telah bersedia untuk menjawab soalan tersebut. Dalam pada itu, ada segelintir ibu bapa pelajar telah hadir di sekolah bagi merestui dan memberi semangat kepada anak-anaknya supaya dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik. Diharapkan semua pelajar SK Tok Randok dapat menjawab soalan dengan berhati-hati dan tenang agar mendapat kejayaan yang cemerlang. SELAMAT MENDUDUKI UPSR!!!!

Ahad, 11 September 2011

Majlis Merestu Ilmu





Pada perhimpunan pagi ini, satu majlis merestu ilmu telah diadakan bagi murid-murid tahun 6 yang akan menduduki UPSR bermula Selasa ini. Majlis ini adalah bertujuan meminta restu ilmu daripada semua guru di SK Tok Randok yang mengajar mereka selama 6 tahun di sekolah ini. Ilmu-ilmu yang ditimba ini akan digunakan sepenuhnya semasa peperiksaan UPSR nanti. Diharap semua pelajar tahun 6 ini akan dapat menjawab soalan UPSR dengan tenang dan yakin.

Khamis, 8 September 2011

Sembahyang Hajat UPSR 2011





Program sembahyang hajat telah diadakan di surau SK Tok Randok bagi murid-murid tahun 6 yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada minggu depan. Semua penjaga dan ibu bapa pelajar tahun 6 telah hadir bagi menjayakan program tersebut. Pada hari tersebut, kabanyakan pelajar tahun 6 telah berpuasa sunat dan berbuka di kantin sekolah. Program ini telah berjaya mewujudkan ikatan silaturrahim antara guru sekolah dan juga ibu bapa pelajar berkenaan.

Rabu, 7 September 2011

Lawatan Rekreasi Minda Tahun 6





Hari ini semua murid tahun 6 telah mengadakan lawatan ke Kuala Terengganu. Lawatan ini adalah bagi merehatkan minda murid-murid tersebut di dalam menghadapi peperiksaan UPSR 2011 yang bakal diadakan pada 13 hingga 15 September 2011. Lawatan ini ini bertujuan bagi menngurangkan tekanan yang dihadapi oleh pelajar di dalam menghadapi peperiksaan UPSR. Antara aktiviti-aktiviti yang diadakan ialah melawat ke Muzium Negeri Terengganu, menaiki River Cruise, Mydin Mall, dan Terengganu Equestrian Resort (TER).